Tentang PVMA

PENGENALAN

PVMA memberi tafsiran Program Vokasional Menengah Atas iaitu penjenamaan kepada MPV.

Pelaksanaan PVMA dapat mengekalkan matlamat asal MPV dengan penambahbaikan program tersebut, iaitu memberi peluang kepada murid yang tidak cenderung dalam bidang akademik untuk mengembangkan potensi dalam bidang vokasional di samping dapat menyediakan kemahiran vokasional bagi murid yang tidak berpeluang memasuki kolej vokasional.

Oleh yang demikian, matlamat tersebut selari dengan hasrat PPPM bagi menyediakan akses yang lebih baik dalam pendidikan vokasional. 

PVMA mempunyai nilai tambah yang lebih baik untuk murid berbanding dengan MPV sedia ada dan murid masih mempunyai laluan untuk meneruskan pendidikan dalam bidang kemahiran ke tahap yang lebih tinggi di Institut Kemahiran Awam (ILKA) atau Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Pelaksanaan PVMA ini membolehkan murid kekal di sekolah yang sama sehingga ke Tingkatan 5. Pelaksanaan PVMA dijalankan secara berperingkat mengikut ketetapan yang diputuskan oleh KPM.

VISI

Menyediakan sumber manusia yang berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri bagi pembangunan ekonomi, sosial dan teknologi.

MISI

  • Menyediakan tenaga manusia bersahsiah dan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan pasaran 
  • Membangunkan sistem pendidikan vokasional secara berkesan 
  • Mengintegrasi teknologi dalam pendidikan vokasional 
  • Menggalakkan hubungan antara industri dan masyarakat 
  • Memperkembang kemahiran vokasional secara kreatif dan inovatif

MATLAMAT

Membentuk lepasan Pendidikan Vokasional yang; 
  • Bersedia menyertai pasaran kerja. 
  • Mampu melanjutkan pelajaran dan tahap kemahiran ke peringkat yang lebih tinggi.
  • Menjadi usahawan yang berdaya saing.

OBJEKTIF

  • Menimbulkan minat belajar dalam aliran kemahiran 
  • Menggilap potensi murid 
  • Memberi kemahiran asas dan kemahiran spesifik 
  • Membentuk sahsiah murid 
  • Menyediakan diri dengan pengetahuan dan kemahiran pekerjaan 
  • Mewujudkan pemikiran kritis, kreatif dan 
  • Mengembangkan kompetensi keusahawanan 
  • Menjana budaya niaga 

KOMPONEN MATAPELAJARN PVMA

PVMA terbahagi kepada dua komponen utama, yakni komponen Akademik yang dibawah Kelas Arus Perdana dan komponan Vokasional dibawah Kelas Arus Vokasional (PVMA).

Komponen Akademik terbahagi kepada dua bahagian yakni Matapelajaran Teras ; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah, dan Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) ; Pendidikan Moral/Islam dan Matematik.

Komponen Vokasional adalah matapelajaran Kemahiran yang ditawrkan dan menggunakan Kurikulum Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau NOSS.

DOKUMEN LATIHAN DAN PENGAJARAN

Terdapat dua dokumen penting dalam PVMA yakni:
  • DSK: Mengandungi Standard Kandungan (SK), Standard Pembelajaran (SP) dan Kriteria Pencapaian (KP).
  • Bahan Pengajaran Bertulis (WIM - WRITTEN INSTRUCTIONAL MATERIALS): WIM ialah dokumen utama yang disediakan untuk kegunaan guru dan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

PENGAMBILAN PELAJAR

Pengambilan pelajar biasanya dilakukan pada awal tahun melalui proses permohonan di peringkat sekolah. 

Berikut adalah syarat - syarat umum untuk mengikuti PVMA:
  • Calon adalah warganegara Malaysia.
  • Calon mestilah murid yang bersekolah di Sekolah Menengah Kerajaan/ Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan. 
  • Calon telah menduduki Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang merangkumi Pentaksiran Pusat (PT3), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi). 
  • Calon sihat tubuh badan. 
  • Calon menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira). 
  • Calon bebas daripada masalah mental.
  • Calon bebas daripada penagihan dadah serta sakit kronik (masalah jantung, darah tinggi, kencing manis, sawan (epilepsy) dan penyakit-penyakit lain) atau kecacatan yang boleh menghadkan murid daripada melaksanakan kerja amali). 
  • Calon tidak rabun warna. 
  • Calon berminat dengan kursus yang dipohon.

PENTAKSIRAN


Pentaksiran ialah satu proses mengumpul / mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat keputusan/ penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Antara tujuan pentaksiran PVMA adalah :
  • Untuk memperbaiki (To improve) 
  • Untuk memaklumkan (To inform)
  • Untuk membuktikan (To prove)
  • Untuk menyokong (To support)

Laman PVMA Sarawak